Sumber imej: FMT

Isu campur tangan asing banyak diperkatakan dalam media tempatan dan oleh ahli-ahli politik pada masa ini. Campur tangan asing merupakan unsur yang sering wujud dalam politik antarabangsa.

Dalam rantau Asean, campur tangan asing pernah berlaku beberapa kali yang melibatkan Indonesia, Filippina, dan Vietnam. Bukan sekadar di Asia Tenggara, malah seluruh dunia telah menyaksikan peristiwa campur tangan asing.

Afghanistan menjadi mangsa campur tangan dua kuasa besar asing: Soviet Union pada 1979 and Amerika Syarikat dan NATO pada 2001. Iraq, Syria, dan Libya juga menjadi sasaran Amerika Syarikat.

Sejarah juga mencatatkan masalah campur tangan asing berlaku di beberapa negara di Afrika dan Amerika Latin.

Kesemua contoh ini adalah bukti bahawa campur tangan asing berlaku hampir di setiap benua. Persoalannya, adakah campur tangan asing berlaku di Malaysia?

Menjawab persoalan ini, peristiwa campur tangan asing yang paling jelas dapat kita kaitkan di Malaysia ialah tentang krisis ekonomi pada tahun 1998.

Pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri tidak mahu mengikut telunjuk IMF. Tambahan pula, beliau sering mengkritik kuasa besar berdasarkan prinsip kedaulatan dan kemerdekaan.

Itulah sebabnya ada usaha oleh beberapa pihak di luar negara dibantu oleh individu dan kumpulan tertentu dalam negara untuk menggulingkan Dr.Mahathir. Tetapi gagal.

Hari ini, isu campur tangan asing sedang diputarkan kembali. Isu 1MDB telah heboh diperkatakan sebagai isu campur tangan asing. Benarkan pernyataan ini? Pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat melalui Peguam Negaranya mengenai isu 1MDB dikatakan sebagai campur tangan asing terhadap Malaysia.

Tuntutan Amerika Syarikat ialah mengenai pembelian aset di Amerika Syarikat oleh syarikat 1MDB melalui individu tertentu yang berbelanja di negara mereka.

Tindakan ini mendapat perhatian Amerika Syarikat terhadap aset 1MDB dimana seterusnya ia telah dibekukan oleh pihak mereka. Sejak itu, barulah penyiasatan dimulakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Jadi adakah Amerika Syarikat benar-benar mencampuri urusan Malaysia dengan cara ini?

Untuk menjawab persoalan ini kita perlu kembali kepada asas penyiasatan 1MDB secara dasarnya. Dalam mengkaji asal-usul siasatan 1MDB, lima perkara harus kita ambil perhatian.

Pertama, siasatan mengenai 1MDB telah dimulakan oleh Bank Negara Malaysia iaitu pada 2011 atas sebab terdapat pengaliran wang ke luar negara yang meragukan oleh syarikat ini.

Perkara ini bukan dimulakan oleh kuasa asing sebaliknya dimulakan oleh Bank Negara Malaysia sendiri.
Perkara kedua yang harus kita ketahui ialah, pada awal 2015, beberapa badan lain turut memulakan penyiasatan terhadap 1MDB. Antaranya ialah Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketiga-tiga badan ini bersama dengan Bank Negara menubuhkan satu pasukan petugas( task force) untuk menyiasat 1MDB atas dasar wujudnya keraguan terhadap pengaliran wang, pelaburan dan hubungan dengan badan-badan kewangan lain di luar negara.

Seterusnya, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen turut memulakan siasatan pada Mei 2015. Sebelum itu pada Mac 2015, perdana menteri mengarahkan Ketua Audit Negara memulakan proses audit terhadap 1MDB.

Sekali lagi, ini membuktikan tiada campur tangan asing dalam siasatan ini.

Perkara keempat yang harus kita beri perhatian ialah apabila terdapat ahli parlimen dan ahli politik yang mula menyuarakan kebimbangan mereka terhadap 1MDB sejak tahun 2014.

Ahli Parlimen pembangkang dan juga pemimpin politik pertengahan Umno iaitu bekas naib ketua bahagian Batu Kawan telah membangkitkan isu ini. Kesannya, Datuk Seri Khairuddin Hasan dipecat daripada Umno.

Yang cuba kita perlihatkan ialah, individu yang mula berkata tentang 1MDB ialah pemimpin tempatan bukannya komplot daripada luar negara.

Akhir sekali ialah, skandal ini didedahkan secara terbuka oleh media tempatan. Edge Weekly dan Edge Daily yang mendedahkan butir-butir tentang pengaliran wang, pihak yang terlibat dan sebagainya telah merancakkan lagi penyiasatan tentang 1MDB dijalankan.

The Edge, sama sekali bukanlah campur tangan negara asing sebaliknya ia merupakan saluran media tempatan di Malaysia.

Kelima-lima perkara ini menunjukkan dengan jelas bahawa isu 1MDB diberi perhatian oleh Malaysia sendiri tanpa campur tangan mana-mana kuasa asing.

Sebaliknya, 1MDB adalah kegagalan kita menjalankan penyiasatan yang sempurna tanpa tindakan susulan sewajarnya. Keadaan bertambah buruk kerana pemecatan dan pengguguran mereka yang lantang bersuara dan ikhlas mencari kebenaran dalam persoalan ini.

Ramai yang disingkirkan antaranya termasuklah timbalan perdana menteri, menteri besar dan beberapa orang penting dalam penyiasatan 1MDB.

PAC tidak dapat berfungsi selama beberapa bulan kerana pengerusi dan sebahagian dari anggotanya dilantik sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

Kes 1MDB dianggap aneh apabila kes skandal kewangan yang telah dihebohkan selama 2 tahun tetapi tiada sesiapa pun didakwa dan diambil tindakan undang-undang. Segala usaha seolah-olah cuba digagalkan.

Kenapa ini berlaku? Puncanya tidak lain tidak bukan tetapi ada pihak yang tidak mahu kebenaran dibongkarkan. Keadilan disembunyikan bagi melindungi individu tertentu dan selagi mereka ingin memastikan kepentingan politik mereka selamat, selagi itulah kebenaran tidak akan didedahkan.

Perkara ini berbeza keadaannya di luar negara. Di Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat, tindakan diambil sebaik sahaja mereka mengesan terdapat usaha mengubah wang secara haram dalam pengaliran wang mereka.

Selaku pusat kewangan antarabangsa, mereka perlu bertindak untuk menjaga integriti sistem kewangan negara mereka.

Secara politiknya, harus kita akui mungkin ada ketidaksefahaman politik oleh negara luar terhadap pendirian Malaysia terhadap beberapa isu antaranya pendirian kita terhadap isu Palestin.

Kita sedar tentang cara kuasa Barat tertentu menguasai media antarabangsa. Kita juga tidak disenangi oleh mereka kerana keakraban kita bersama China khususnya kerjasama ketenteraan antara Malaysia dan China.

Namun tidak dapat kita nafikan bahawa hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat jauh lebih baik daripada dulu.

Datuk Seri Najib Razak merupakan perdana menteri yang paling rapat dengan
Washington dan Barat sejak Tunku Abdul Rahman. Beliau jarang mengkritik dasar luar Amerika Syarikat jika dibandingkan dengan Dr Mahathir.

Ini bermakna bahawa tiada sebab Amerika Syarikat menjadikan Malaysia sebagai sasarannya. Kita yang membuka jalan kepada mereka untuk bertindak akibat kegagalan kita sendiri menegakkan kebenaran dan keadilan dalam kes 1MDB.

Apa yang harus kita benar-benar fahamkan ialah bahawasanya, isu 1MDB bukanlah isu campur tangan asing sebaliknya 1MDB ialah isu tentang integriti, amanah, prinsip dan tanggungjawab kepimpinan.

Dr Chandra Muzaffar merupakan pengerusi Yayasan 1Malaysia.

SOURCEFMT
SHARE
Previous articleSingapura Rendahkan Unjuran Pertumbuhan Ekonomi
Next articleMichael Phelps Terus Dominasi Acara Renang Olimpik
Seorang kolumnis bebas yang berasal dari hutan batu KL. Ruang lingkup dunia tanpa sempadan pada masa kini menjadikan saya sebagai seorang kaki travel bajet dan 'foodie in the making'. Pada masa bosan-bosan akan melayan update 'trending' netizen... Saya sangat berminat dengan perkembangan pertahanan dan politik domestik serta global. Nak berbalah boleh tapi biarlah dalam 'mode' yang bertamadun ye...

LEAVE A REPLY