Ambil

INSIDEN dan kejadian pemimpin bukan Islam memasuki ruang solat masjid untuk tujuan politik bukan pertama kali berlaku di negara ini.

Sebaliknya, kejadian sedemikian sudah kerap kali berulang dan seolah-olah tiada pengajaran diambil daripada kejadian sebelum ini.

Persoalannya, kenapa tidak ambil iktibar daripada kejadian terdahulu?

Adakah pihak berkenaan tidak mengetahui larangan masuk ke ruang solat masjid untuk berpolitik atau sengaja buat tidak tahu?

Pada 24 Mei lepas, Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa mengundang kontroversi apabila didakwa menggunakan ruang solat Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang, Selangor sebagai tempat berpolitik.

Beberapa gambar kehadiran Sivarasa ke masjid berkenaan turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati pelbagai pihak.

Wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun menafikan dia memberi ceramah di masjid berkenaan.

Sebaliknya, Sivarasa menyatakan hanya menyampaikan ucapan ringkas mengenai komitmen Kerajaan Selangor untuk terus membimbing institusi surau dan masjid di negeri berkenaan.

Adakah Sivarasa memohon maaf ekoran tindakannya itu?

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa teramat murka dan dukacita dengan tindakan Sivarasa yang memasuki Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang dan menggunakan ruang solat sebagai tempat berpolitik.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, Sultan Selangor telah menitahkan kepada Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani supaya mengarahkan pihaknya mengambil tindakan terhadap nazir dan jawatankuasa masjid tersebut.

JAIS turut menubuhkan Jawatankuasa Panel Khas untuk menyiasat insiden itu.

Adakah Sivarasa tidak mengetahui larangan penggunaan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik telah dikuatkuasakan di Selangor?

Pada 12 Mei lepas, Sultan Sharafuddin mengingatkan umat Islam tidak menyalahgunakan masjid untuk kepentingan diri sendiri terutama dalam hal-hal duniawi termasuk politik.

Titah baginda, masjid adalah tempat bagi seluruh umat Islam beribadat untuk mendapatkan pahala tanpa mengira pangkat, darjat, jantina atau umur seseorang.

Baginda bertitah tidak berkenan sekiranya terdapat sesiapa pun menggunakan masjid untuk berpolitik dan mengadakan ceramah yang tidak berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan ke arah sesuatu yang meragukan atau menyesatkan.

Jelas sekali Sultan Sharafuddin melarang masjid disalahgunakan membabitkan hal-hal duniawi termasuk politik dan baginda sebenarnya telah berulang kali bertitah mengenai larangan tersebut.

Larangan itu bukan baharu sebaliknya diketahui umum.

Notis larangan turut ditampal di masjid-masjid di sekitar Selangor.

Persoalannya, kenapa Sivarasa dibenarkan berucap diruang solat masjid berkenaan?

Adakah pihak pengurusan masjid tidak menyedari perkara itu?

Jika dilihat, kes mencemarkan kesucian Islam bukan pertama kali berlaku.

Pada 2009, Ahli Parlimen DAP, Nga Kor Ming mempersendakan ayat suci al-Quran semasa mengadakan ceramah di Bukit Gantang, Perak.

Bacaan Kor Ming bukan sahaja tidak betul, malah Ahli Parlimen Taiping itu menyebut ayat yang dibacanya dari ‘Surah Aura’ yang tidak wujud dalam al-Quran, tetapi yang ada adalah surah al-A’raf.

Timbul persoalan sehingga kini, siapakah yang mengajar Kor Ming untuk membaca ayat tersebut?

Pada 13 November 2009 juga, Wong Kar Woh (ADUN Canning yang juga bekas Setiausaha Kelab Penyokong kerajaan pakatan Perak) membacakan dua ayat dari Surah al-Hujurat (ayat ke-12) dan Surah Ali-Imran (ayat ke-10) dalam Dewan Undangan Negeri ketika mengulas bajet negeri.

Menteri Besar dari pakatan pembangkang waktu itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak kisah langsung ayat suci al-Quran yang dipermainkan Kar Woh.

Sebelum ini Ahli Parlimen Selayang dari PKR, William Leong Jee Ken dilaporkan berucap dari dalam bahagian Dewan Solat Masjid Al Mutaqqin sempena majlis Tadarus Al-Quran dan sumbangan hari raya di masjid itu.

Pada 2010, Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching juga dibenarkan masuk ke Surau Al Huda Kajang Sentral untuk menyampaikan ucapan.

Adakah semua itu berlaku secara kebetulan dan tidak sengaja?

Semua pihak sama ada orang Islam atau bukan beragama Islam tidak dibenarkan berpolitik di dalam masjid malah mereka perlu lebih peka, sensitif serta belajar untuk menghormati tempat beribadah.

Islam membenarkan orang bukan beragama Islam masuk ke rumah Allah untuk berkongsi keindahan masjid termasuk seni binanya dan bukannya membenarkan mereka menjadikan masjid sebagai pentas politik.

Jika hendak masuk ke masjid ada syaratnya, malah orang Islam sendiri sentiasa diingatkan agar masuk dalam keadaan bersih dan wanita yang sedang haid juga tidak boleh masuk ke kawasan tersebut.

Masjid adalah rumah Allah, tempat yang sangat dimuliakan dan perlu dihormati bukan sahaja oleh orang Islam malah orang bukan Islam.

Bukan tempat mencanang janji palsu politik atau bermegah dengan sumbangan tidak ikhlas yang berniat sengaja mahu dicanang di media sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here