AmBank
Foto oleh FMT

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia sudah mengenakan “tindakan” ke atas 2 kakitangan AmBank yang terlibat dalam aktiviti pengubahan wang berkait dengan syarikat 1MDB, menurut Kementerian Kewangan.

Dalam jawapan bertulis kepada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) di Dewan Rakyat, kementerian itu berkata tindakan sudah diambil ke atas Joanne Yu dan Cheah Tek Kuang, bagaimanapun tidak memperincikan jenis tindakan itu.

Menurutnya, tindakan diambil selepas siasatan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang 2001.

download-1Pua dalam soalannya pada Oktober 31 mahu penjelasan mengenai tindakan yang diambil ke atas Yu dan Cheah.

Sebelum ini, Yu dan Cheah dilaporkan The Wall Street Journal membantu ahli perniagaan Low Taek Jho memindahkan wang AS$680 juta ke dalam akaun bank peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2013.

Laporan itu berdasarkan transkrip mesej telefon yang dipetik Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam samannya merampas aset yang didakwa dicuri daripada 1MDB bernilai lebih AS$1 bilion, Julai lalu.

Najib berkata wang itu merupakan derma daripada kerajaan Arab Saudi menjelang pilihan raya ke-13 pada Mei 2013. Menurutnya, wang itu sudah dikembalikan.

LEAVE A REPLY