aliff aziz
Cover image via @aliffaziz91

PADA awal pembabitan dalam dunia seni, penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz tidak pernah lekang dipalitkan dengan kisah peribadi dirinya yang sensasi.

Namun itu kisah dahulu, cepat sedar akan khilaf diri, penyanyi yang popular dengan lagu Sayang itu kemudian nekad mengubah haluan hidupnya. Hal itu termasuklah dalam kehidupan peribadi dan percintaannya.

Benar kata orang, berkawanlah dengan sesiapa sekali pun, namun jika sudah jodoh, pasti tidak ke mana. Pertemuan semula Aliff bersama Dayang Nabellah atau mesra dengan panggilan Bella akhirnya membawa mereka hingga ke jenjang pelamin.

Jumaat lalu menyaksikan penyatuan dua hati pasangan ini dalam sebuah majlis pernikahan secara tertutup. Hanya dengan sekali lafaz, Aliff sah bergelar suami Bella selepas dinikahkan oleh bapa isterinya sendiri, Awang Astillah.

Mengadakan majlis resepsi pada sebelah malam di Menara Top Glove, Shah Alam, Aliff tampil segak memakai persalinan berwarna biru manakala isterinya anggun bak puteri dalam busana rekaan Cosry berona krim.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan tidak pernah menyangka mampu melangkah sejauh ini dalam hubungan bersama Bella.

“Sekarang saya sudah bertukar status dan bergelar suami kepada seorang wanita yang sangat saya cintai. Tiada kata dapat diungkapkan untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini,” ujar Aliff yang memberi mas kahwin sebanyak RM333 tersenyum seraya membuka bicara.

Diusik dengan persoalan Bella menjadi antara dalam ramai wanita yang berjaya menjinakkan Aliff, sambil tertawa kecil dia menyatakan pendapatnya sendiri.

Tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, dengan sopan lelaki berusia 26 tahun itu menjawab: “Sebenarnya kenyataan itu tidak begitu tepat buat diri saya. Mungkin pada mata masyarakat saya kelihatan liar, tetapi secara peribadi saya tidak merasakan sebegitu.

“Saya tidaklah seteruk yang disangka, cuma dalam setiap fasa kehidupan, seseorang pasti tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi Allah tetap membuka peluang buat semua manusia berubah menjadi lebih baik.”

Sedia

Berbicara soal peralihan kehidupan yang akan menanti selepas ini, dengan penuh optimis penyanyi itu mengakui dirinya sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami.

Ujarnya lagi, cabaran dan dugaan pastinya berbeza dalam kehidupan setiap pasangan yang berumah tangga. Pun begitu, dia dan Bella akan mempersiapkan diri untuk menjadi pasangan suami isteri yang sentiasa bertolak ansur dan menyokong antara satu sama lain.

Bersetuju dengan kenyataan suaminya, Bella kemudian menambah, dirinya tetap akan menyokong Aliff sama ada dalam kehidupan mahupun hal yang melibatkan kerjaya.

“Setiap perkahwinan pasti ada cabaran, sebagai isteri saya akan hadapinya bersama dengan suami tanpa mengira susah atau senang.

“Begitu juga dengan kerjaya suami selepas ini. Sebenarnya, Aliff selalu meminta kebenaran saya sebelum membawakan beberapa babak romantis, bagaimanapun saya pula yang memintanya untuk memberikan lebih dalam penghayatan watak kerana yakin dia boleh berlakon dengan lebih baik jadi. Jadi, tiada sebab untuk saya melarang dia daripada sebarang tuntutan kerja,” jelasnya tersenyum.

Sempat berkongsi lokasi bulan madu yang ingin mereka lawati, Aliff memberitahu, dia perlu membuat perancangan rapi terlebih dulu sebelum bertolak.

“Saya dan isteri pernah berbincang sama ada ingin ke Korea atau Mesir. Kedua-dua lokasi ini menarik, namun kami belum memutuskan mahu ke mana kerana sedang membuat penelitian dan perancangan terlebih dahulu.

“Bercakap soal cahaya mata pula, jujur saya dan isteri tidak akan merancang dan menyerahkan kepada rezeki yang telah ditetapkan,” tutupnya.

Artikel berkaitan: Aliff Aziz Selamat Bertunang

LEAVE A REPLY