Akta Kawal Perilaku Anti Sosial

Sudah sampai masanya pihak kerajaan mengambil langkah dan usaha yang lebih serius untuk mewujudkan “Akta Kawal Perlakuan AntiSosial” dalam negara kita seperti yang telah diumumkan tidak beberapa lama dahulu.

Ini susulan berita sedih kematian T. Nhaveen, 18 tahun baru – baru ini yang disyaki telah menjadi mangsa dera oleh beberapa orang suspek yang berusia dari 16 hingga 19 tahun di Pulau Pinang.

Mangsa sebelum itu telah dimasukkan ke hospital dan telah disahkan mengalami masalah mati otak akibat cedera teruk yang menimpanya.

Terdapat juga beberapa kesan penderaan fizikal teruk yang dialami oleh mangsa.

Berdasarkan perkembangan terbaru ini, pihak kerajaan harus mewujudkan sebuah jawatankuasa khas peringkat kebangsaan bagi menyiasat dan mengenalpasti tahap permasalahan yang melibatkan golongan muda dalam negara kita.

Tidak dapat dinafikan lagi, sudah banyak kali kita didedahkan dengan isu yang melibatkan permasalahan yang dihadapi oleh golongan kanak – kanak dan golongan remaja dalam negara kita seperti masalah buli, masalah gangsterism, masalah penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah, dan lain – lain lagi.

Sekiranya isu – isu dibiarkan begitu sahaja, maka ia akan menjejaskan masa depan ramai golongan muda dalam negara kita serta menjejaskan masa depan negara.

Pelbagai langkah boleh diambil bagi mengatasi isu berkenaan seperti melalui proses pendidikan dan melahirkan kesedaran dikalangan golongan muda mengenai kepentingan untuk bersikap toleransi dan hormat – menghormati antara satu sama lain.

Selain daripada itu, kita juga perlu mengambilkan pertimbangan dengan serius untuk mewujudkan satu akta khas bagi membendung sebarang tingkah laku yang bertentangan dengan norma – norma masyarakat timur iaitu dengan mewujudkan “Akta Kawal Perlakuan AntiSosial”.

Kewujudan akta khas berkenaan adalah penting supaya sebarang isu yang berkaitan dengan perlakuan anti sosial dikalangan golongan muda dalam negara kita dapat dikenalpasti pada peringkat awal dan dibendung secara efektif.

Ia juga dapat merangka dengan terperinci tugas dan tanggungjawab beberapa pihak yang berkepentingan termasuk golongan ibu bapa dan penjaga untuk mengawal tingkah laku anak – anak mereka sendiri.

Beberapa bulan yang lalu, pihak kerajaan pernah menyatakan hasrat untuk mewujudkan akta berkenaan, namun sehingga kini tiada perkembangan terkini mengenai usaha untuk mewujudkan akta berkenaan.

Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan bagi membendung dan mengatasi kegiatan antisosial yang berlaku dalam masyarakat kita terutamanya terhadap golongan muda, tetapi apa yang lebih penting ialah pihak ibu bapa dan penjaga mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dalam membendung dan mengatasi masalah yang berlaku.

Adalah diharapkan nasib yang menimpa T. Nhaveen baru – baru ini menjadi titik tolak untuk semua pihak dalam negara kita untuk mengambil serius diatas permasalahan yang berlaku serta mencari jalan untuk mengatasinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here