akim ahmad
Cover image via youtube

Penyanyi terkenal yang dicungkil bakat menerusi program realiti popular, Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh, Akim Ahmad akan membuat persembahan pembukaan sewaktu Konsert Akhir Superstar Endrum 16.

Konsert tersebut yang bakal bersiaran secara langsung dari Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam pada 19 November 2016. Tambah istimewa, konsert akhir ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran Astro Vinmeen (CH231), Astro Vaanavil (CH201) dan juga menerusi perkhidmatan Astro on the Go (AOTG) bermula jam 8.00 malam.

Selain Akim, beberapa artis tempatan lain seperti Reshma (AF), Kashika (Ceria Popstar), Darkey, Vicanes Jay, Magen, Queen, Hariharan, Hasmitha dan Daraneswary juga turut bergandingan untuk mempersembahkan lagu ‘Endrum 16’ dalam Bahasa Tamil sebagai kelainan untuk memikat hati penonton.

Lagu klasik Endrum 16 ini telah diberi nafas baru oleh komposer tempatan, Jay sambil diiringi dengan alunan gitar oleh Rody Kristal and kumpulan Hyper Baby Act.

Superstar Endrum 16 merupakan pertandingan nyanyian Tamil pertama anjuran Astro yang sudah diterbitkan selama 16 musim sejak tahun 2001. Pertandingan ini juga merupakan platform yang memberi peluang kepada golongan belia untuk mencapai impian mereka dalam industri muzik Tamil.

Seramai lebih 300 golongan belia yang telah hadir sewaktu sesi ujibakat namun hanya 16 peserta terbaik yang berjaya disenarai pendek untuk menyertai musim ini. Selepas cabaran selama 10 minggu, hanya 6 peserta yang layak ke pusingan akhir.

Juara program Superstar Endrum 16 bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000, sebuah kereta Honda HRV beserta sebuah trofi sumbangan Astro. Manakala naib juara pula akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 beserta sebuah trofi. Sementara pemenang tempat ketiga pula bakal membawa pulang wang tunai RM6,000 beserta trofi.

Baca lagi: Akim Ahmad, Stacy Hamil Cahaya Mata Sulung

LEAVE A REPLY