akhbar

Laporan The Malaysian Insight menyatakan KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah merampas kira-kira 50 naskhah akhbar mingguan Amanah di tiga kedai dekat Sungai Besar, Selangor pada Selasa.

Sebelum ini, beberapa kedai di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, Rawang dan bandar Kuantan, Pahang turut diberi amaran jangan menjual akhbar itu.

Alasannya, permit akhbar itu hanya untuk ahli saja, oleh itu ia tidak boleh dijual di gerai akhbar biasa, kata pegawai KDN kepada penjual akhbar.

Pegawai pemasaran akhbar Amanah, Luqmanul Hakim berkata pengedar berkenaan memaklumkan kepada pejabatnya berhubung tindakan KDN.

“Mereka menerima surat rampasan daripada pegawai KDN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penjual akhbar di Jalan Pahang berkata beliau didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai KDN dan memintanya tidak lagi menjual akhbar itu.

“Sejak itu, akhbar Amanah hanya dijual jika ada pelanggan bertanya, tidak lagi diletakkan di atas meja seperti akhbar lain,” kata Luqmanul.

 

Timbalan Ketua Amanah kawasan Sungai Besar, Kuantan Mohd Shukri Daud berkata oleh sebab penjual sering diugut dan diberikan amaran oleh pegawai KDN, pengedar akhbar di sana tidak mahu mengedarkan akhbar itu.

“Kami masih berusaha untuk mencari mekanisme pengedaran cara lain,” kata Shukri menerusi laporan kepada pejabat akhbar Amanah seperti yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insight.

Akhbar Amanah mula diterbitkan Mac 2017 selepas mendapat permit daripada KDN.

Sehingga kini ia diedarkan antara 20,000 hingga 60,000 naskhah bergantung kepada permintaan pembaca.

Sebagaimana akhbar Harakah milik PAS dan Rocket milik DAP, permitnya untuk ahli saja.Selain dijual, akhbar Amanah juga diedarkan secara percuma melalui online (e-paper) namun ia diedarkan lebih lewat berbanding akhbar versi cetak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here