ainan tasneem
Cover image via youtube.com

BAKAL melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan pada 7 Januari 2017, penyanyi Ainan Tasneem sudah pun mempunyai rencana jangka panjang untuk kariernya.

Demi kehidupan yang dirasakan lebih sesuai, dia segera memutuskan tekad dan membulatkan hati untuk meninggalkan dunia nyanyian yang telah diceburi sejak lima tahun lalu.

Kata Ainan, 24, meskipun bidang nyanyian telah banyak memberikan erti hidup buat dirinya, dia sedikit pun tidak berasa terkilan untuk meninggalkan kerjaya tersebut.

Di hati penyanyi yang terkenal dengan lagu 150 Juta itu, masa depan bersama Ariff, 25, mahu ditangani sebaik mungkin walaupun usia perkenalan mereka baru memasuki tempoh dua bulan.

Diperkenal oleh seorang kenalan, sepanjang tempoh tersebut, kedua-duanya hanya bertemu sebanyak dua kali sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Tahniah, khabarnya Ainan akan berumah tangga tidak lama lagi. Justeru boleh kongsikan persiapan yang telah dilakukan sekarang?

AINAN TASNEEM: Terima kasih. Buat masa sekarang kami sedang melakukan persiapan berkaitan barang hantaran, lokasi majlis resepsi dan akad nikah serta cenderamata buat tetamu. Selain itu, saya turut mempelajari beberapa menu masakan kerana setelah bergelar isteri kelak saya pasti akan menyediakan hidangan untuk suami (ketawa).

Mengapa anda mengambil keputusan segera berkahwin sedangkan anda baru berkenalan dengan calon suami?

Secara peribadi, perkara itu tidak menjadi masalah kerana kebanyakan ahli keluarga saya berkahwin pada usia muda termasuk ibu bapa saya sendiri. Justeru usia bukan faktor bagi menentukan sama ada seseorang itu layak untuk berumah tangga atau tidak. Tambahan, setelah beberapa kali gagal dalam percintaan sebelum ini membuatkan saya serik untuk mengambil masa lama bercinta.

Bagaimana kalian berdua saling mengenali?

Kami diperkenalkan oleh seorang rakan. Awalnya ia tidak begitu serius sehingga pada pertemuan kedua, dia mula meluahkan hasrat untuk menyunting saya sebagai isteri. Ketika itu saya hanya mengatakan sekiranya benar, jumpa sahaja kedua orang tua untuk meminang.

Tidak menduga, keluarganya datang merisik selepas sambutan Aidiladha lalu. Hasil daripada perbincangan, kami memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan pada 7 Januari depan.

Mengapa kalian memilih tarikh 7 Januari 2017, ada sebarang makna tertentu?

Pemilihan tarikh itu tidak membawa sebarang makna istimewa kepada kami berdua. Saya memilih tanggal 7 Januari depan kerana adik bongsu saya yang melanjutkan pelajaran ke Afrika Selatan akan pulang bercuti sekitar awal tahun depan. Jadi, kami sekeluarga sepakat untuk mengadakan majlis perkahwinan saya pada Januari 2017.

Setelah berumah tangga kelak, bagaimana pula dengan bidang nyanyian?

Selepas berkahwin, saya membuat keputusan untuk meninggalkan bidang nyanyian. Selain itu, saya juga merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PhD). Perancangan tersebut tidaklah bermaksud bahawa saya mahu meninggalkan dunia seni secara total kerana saya juga aktif dalam bidang pengacaraan.

Adakah keputusan untuk berhenti menyanyi dibuat atas permintaan bakal suami?

Perkara itu tidak benar (ketawa). Sejujurnya keputusan meninggalkan bidang nyanyian dibuat atas keinginan saya sendiri tanpa paksaan atau permintaan daripada mana-mana individu. Sememangnya saya sudah menyimpan hasrat untuk berhenti menyanyi tetapi belum menemui masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Bolehkah anda kongsikan lokasi majlis perkahwinan kelak?

Lokasi majlis akad nikah masih dalam peringkat perbincangan kedua-dua belah keluarga sementara majlis resepsi pula bakal diadakan di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam.

Bagaimana pula dengan lokasi berbulan madu kalian kelak?

Awalnya kami merancang untuk berbulan madu di Itali namun, disebabkan tarikh yang dipilih itu jatuh pada musim sejuk di sana, jadi kami memilih untuk berbulan madu di Bali, Indonesia sebelum berangkat ke Itali selepas musim sejuk tamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here