ahmad said

KEMAMAN – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau akan akur dengan apa juga keputusan yang akan dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi Umno terhadap keanggotaannya dalam parti. Ini berikutan wujudnya desakan daripada segelintir pihak yang memintanya dipecat berikutan kelantangannya mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri yang juga presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Said
Ahmad Said dikatakan lantang mengkritik kepimpinan negeri dan pusat

Bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian Kemaman itu menegaskan, jika beliau dipecat ia akan memberi kesan kepada kedudukan kerusi parti berkenaan di dalam Dun Terengganu kerana akan mengakibatkan jumlah kerusi yang dipegang akan sama banyak dengan pembangkang iaitu 16-16.

“Saya tidak ada sebarang masalah dan akur terhadap apa juga keputusan yang dimuktamadkan kelak, cuma apa sahaja keputusan nanti akan memberi kesan kepada kedudukan dalam Dun.

“Pada masa sekarang, saya akan bertahan dan terus menumpukan tugas sebagai wakil rakyat untuk membela nasib penduduk walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai tohmahan buruk yang dilemparkan sesetengah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan upacara pecah tanah projek 30 unit rumah kedai Umno Bahagian Kemaman yang bernilai RM45 juta yang dibangunkan dengan kerjasama Rayhar Properties Sdn Bhd (Rayhar) di Kampung Dusun Nyior, di sini, kelmarin.

Dalam satu mesyuarat tertutup yang diadakan di Kuala Lumpur, ada segelintir pihak yang juga ahli Umno menggesa pucuk pimpinan Umno memecat segera Ahmad yang juga Adun Kijal ekoran kelantangannya mengkritik kerajaan dan membuat usul undi tidak percaya pada sidang Dun yang lalu.

 

LEAVE A REPLY