PETALING JAYA: Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman supaya tidak memusuhi beliau sekiranya mahu menyelesaikan krisis politik negeri itu.

“Setahun lebih saya tidak ganggu pentadbiran kerajaan, saya nak perhatikan gelagat-gelagat menteri besar baharu (Ahmad Razif) yang bercakap dengan penuh pembohongan dan sebagainya.

“Sepatutnya dia (Ahmad Razif) berbaik dengan saya bukan bermusuh dengan saya,” kata Ahmad sewaktu mengulas keputusan Umno Terengganu membiarkan Lembaga Disiplin parti itu untuk menghukum beliau kerana mengkritik kepimpinan.

Beliau mendakwa Ahmad Razif salah seorang individu yang terlibat mempengaruhi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjatuhkan beliau sebagai menteri besar.

ahmad razif
Foto oleh FMT

“Beliau (Ahmad Razif), abang beliau, Datuk Jailani sentiasa memberi input yang tidak betul kepada perdana menteri.

“Saya tahu semua itu, sebab itu saya tidak ambil tindakan, sebab saya tahu kedudukan kerusi DUN ketika itu 17-15 dan saya sayangkan Umno,” katanya.

Ahmad Said berkata, Umno Terengganu tidak sepatutnya membawa usul memecat beliau kerana perkara itu akan merumitkan lagi pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya tidak kisah kalau menteri besar dengan ketua bahagian beria nak pecat, dia sedar tak kalau dia pecat, gantung atau saya keluar parti kedudukan kerusi menjadi 16-16,ikut undang-undang negeri Terengganu bila tidak ada majoriti, maknanya menteri besar kena mengadap Tuanku Sultan untuk bubar dewan.

“Kalau Tuanku tidak perkenan maka menteri besar dan exconya kena letak jawatan, bila keadaan itu berlaku maka bergantung pada budi bicara tuanku untuk melantik siapa (jadi MB), itupun kalau wakil rakyat (bebas) tidak memihak kepada pembangkang,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here