Agensi Angkasa Negara

KUALA LUMPUR – Agensi Angkasa Negara (Angkasa) merupakan antara pemenang Pertandingan Aplikasi Satelit Navigasi Eropah 2016 sekali gus membuktikan keupayaan penyelidik tempatan.

Kejayaan itu dicapai melalui produk penyelidikan ‘ATTracT’ (Autism Trigger, Tracking and Trace) atau lebih dikenali sebagai MOSTI Track Autism yang menerima anugerah khas ‘BELS Special Prize’.

Sebagai ganjaran, Angkasa ditawarkan menjalani program inkubasi selama enam bulan di Eropah untuk mempersiap produk itu bagi tujuan pengkomersialan dengan segala semua kos ditanggung penganjur program.

Dalam kenyataan hari ini, Agensi Angkasa Negara menjelaskan penggunaan alat yang menggunakan teknologi navigasi satelit dan diintegrasikan dengan teknologi komunikasi mudah alih itu boleh mengurangkan risiko kemalangan bagi kanak-kanak autistik serta kerisauan ibu bapa.

“Menerusi aplikasi ini, kanak-kanak autistik dipakaikan dengan alat pengesanan satelit navigasi GPS berbentuk jam tangan dan ibu bapa dapat mengesan lokasi anak-anak pada setiap masa dengan hanya menggunakan aplikasi pada telefon pintar yang dibangunkan.

“Melalui sistem ini, ibu bapa dapat memantau pergerakan kanak-kanak autisme dan akan dimaklumkan dengan segera menerusi telefon pintar sekiranya kanak-kanak ini keluar daripada sempadan maya yang telah ditetapkan dalam sistem,” katanya.

Sistem ini juga boleh menentukan tempoh waktu untuk aktiviti harian tertentu bagi kanak-kanak autisme selain dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan terhadap kanak-kanak autisme dan juga tekanan dan kerisauan ibu bapa.

Penggunaan aplikasi teknologi secara inovatif ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Inovasi Sosial MOSTI (MSI) 2015 bertujuan membangunkan idea yang boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan kemahiran dan ekonomi untuk memenuhi keperluan sosial.

Pertandingan itu dianjurkan oleh European Commission, European Space Agency dan European Global Navigation Satellite Systems Agency.

LEAVE A REPLY