ADI PUTRA
Cover image via edisiviral.com

Pemilik nama Mohamed Hadi Putera Halim, 35, atau lebih dikenali sebagai Adi Putra yang berdiam diri berhubung perkahwinan keduanya mengambil langkah mengadakan satu sidang akhbar menjelaskan berita yang tersebar di internet dan media massa.

Dalam perkongsian yang diadakan di Cafe Casa Ombak, Kuala Lumpur petang semalam, pelakon filem KL Gangster itu kelihatan tenang merungkai kisah mahligai kedua yang didirikannya pada bulan lalu.

Bahkan, perkahwinan yang mendapat restu isteri pertama Aida Yusof, 41, ditegaskan Adi bukan disebabkan tiada cahaya mata selepas melayar bahtera perkahwinan selama hampir 10 tahun ataupun bermotifkan perniagaan.

Mengapa Adi Putra merahsiakan perkahwinan daripada khalayak umum dan media massa?

ADI PUTRA: Secara peribadi, saya dikenali masyarakat umum malah tidak terlintas untuk merahsiakan perkahwinan kedua ini. Kalau rahsiakan perkahwinan ini, orang akan mengetahui juga malah saya tidak ada niat merahsiakannya kerana dunia ini kecil. Bagaimanapun, belum sempat saya ingin berkongsi, berita ini telah tersebar.

Mengapakah menunggu sehingga hampir seminggu baru ingin mengadakan perkongsian ini?

Saya tiada motif untuk menunggu sehingga seminggu untuk memaklumkan perkara ini. Kebetulan saya telah merancang percutian bersama keluarga iaitu isteri pertama saya sepanjang tempoh berkenaan dan tidak mahu membatalkannya. Saya lebih mementingkan keluarga dan tidak menganggap berita berkenaan sebagai satu masalah. Selepas balik bercuti dari luar negara, baru saya ingin membuat penjelasan ini kerana tidak mahu mengganggu percutian yang telah diatur begitu lama. Bagaimanapun, saya rasa terdapat hikmah sepanjang tempoh seminggu ini.

Berapa lamakah perkenalan dengan isteri kedua sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga?

Sesi perkenalan seperti biasa tetapi kalau hendak bercerita secara terperinci berhubung perkenalan dengan isteri kedua panjang cerita. Saya mengenali isteri kedua dalam tempoh tujuh sehingga lapan bulan sebelum mendirikan rumah tangga.

Bilakah kalian bernikah dan boleh kongsikan sedikit mengenai identiti isteri kedua anda?

Kami telah bernikah pada 20 Jun lalu iaitu pada bulan Ramadan yang mulia di kediaman keluarga isteri kedua saya. Mengenai identitinya, dia bukan selebriti, jadi sebagai ketua keluarga saya yang ambil tanggungjawab ini. Saya tidak mahu bercakap banyak tentang isteri kedua saya kerana tidak mahu membebankan dia dan keluarganya.

Semasa ingin berkahwin baharu, adakah isteri pertama dimaklumkan terlebih dulu?

Saya maklumkan mengenai hasrat dan pernikahan kedua saya kepada Aida sebelum majlis dilangsungkan. Aida memang sudah tahu (mengenai pernikahan kedua) lebih awal lagi. Bagaimanapun, dia enggan mendedahkannya kepada media kerana memegang amanah dan menunggu saya sendiri yang menjelaskannya. Saya bangga dan hormat pada Aida atas rasa tanggungjawabnya itu. Sebagai ketua keluarga, biarlah saya yang menjawab segala persoalan dan menanggung akibatnya. Saya tidak mahu hati kedua-duanya dan keluarga masing-masing terguris jika persoalan ini terus diajukan kepada mereka, sekali gus isu jadi berpanjangan.

Adakah anda tahu isteri kedua merupakan isteri orang semasa mula berkenalan, malah ada mendakwa, anda sebagai punca keretakan rumah tangga isteri kedua?

Saya mengetahui dia merupakan isteri orang semasa perkenalan tetapi enggan masuk campur dalam urusan rumah tangganya. Masyarakat berhak untuk menuduh saya sebagai perampas. Hakikatnya, tidak ada seorang pun yang mahu menjadi perampas. Saya anggap perkahwinan ini sebagai satu anugerah.

Adakah perkahwinan kedua ini disebabkan zuriat kerana perkahwinan anda sudah berusia 10 tahun tetapi tidak dikurniakan anak. Terdapat khabar angin juga mendakwa, terdapat motif perniagaan di sebalik perkahwinan baharu ini?

Hal ini sama sekali tidak ada kena mengena dengan zuriat. Zuriat merupakan anugerah. Bagi mendapatkan zuriat, ia bukan seperti menghantar kereta ke bengkel yang boleh siap pada bila-bila masa. Lagipun, saya tidak ada masalah bersama Aida berhubung zuriat malah tidak pernah bergaduh atau berselisih faham. Mengenai bermotifkan perniagaan pula, tidak tahu daripada mana sumber ini keluar.

Adakah anda akan mengadakan resepsi dalam tempoh terdekat?

Saya ada perancangan untuk mengadakannya, tetapi ia sudah menjadi viral. Kalau diizinkan Allah untuk melaksanakan resepsi, insya-Allah ia akan diadakan. Ia hanyalah adat dan budaya saya melaksanakan apa yang harus terlebih dahulu.

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here