abu

PETALING JAYA – Dalam satu panggilan telefon kepada akhbar The Star, seorang tebusan rakyat Malaysia yang kini berada dalam tawanan Abu Sayyaf merayu pertolongan kerajaan Malaysia kerana sudah tidak tahan lagi akibat kebuluran dan dipukul.

“Kami sudah tidak boleh tahan. Kami sakit, cedera, lemah. Tidak ada makanan. Malah, kami dipukul. Ada orang mahu tembak kami. Tolonglah kami. ”

Itu kata-kata Encik Mohd Ridzuan Ismail, 32, salah seorang daripada lima rakyat Malaysia yang diculik di perairan Lahad Datu di pantai timur Sabah pada 18 Julai lalu.

Pada hari Rabu (21 Sept), jurucakap Abu Sayyaf Abu Rami telah membuat panggilan kepada The Star dari Pulau Jolo, selatan Filipina, untuk menghantar mesej kepada kerajaan Malaysia melalui Ridzuan .

“Saya tebusan dari Malaysia. Saya minta tolong kerajaan dan majikan saya untuk menyelamatkan kami secepat mungkin,” kata Ridzuan dalam perbualan selama lapan minit.

abu

 “Kami menderita di Pulau Jolo. Kami merayu kepada kerajaan Malaysia dan majikan kami untuk berunding  melepaskan kami kerana kami mahu pulang ke rumah secepat mungkin,” katanya dalam nada sayu.
Ridzuan, yang berasal dari Pahang diculik bersama-sama empat lagi kru bot tunda yang kesemuanya dari Sabah iaitu Tayudin Anjut, 45, Abd Rahim Summas, 62, Mohd Zumadil Rahim, 23, dan Fandy Bakran, 26.
Bot tunda mereka ditemui kosong di perairan Dent Haven di kawasan Tambisan di Lahad Datu, dekat dengan sempadan laut di kepulauan Tawi-Tawi di selatan Filipina.

Ridzuan berkata mereka kini ditahan dalam hutan dan hanya diberi makan sekali sekala selain turut dipukul dengan senjata.

“Minum air parit dari longkang. Kalau ada makanan, hanya nasi untuk alas perut. Kami tidur atas tanah, bila hujan kami basah,” katanya.

Sehari sebelum rayuan Ridzuan itu, Abu Rami menerusi temu bual telefon berkata penculik mendesak 100 juta peso (RM8.5 juta) untuk pembebasan tebusan dan mereka disimpan di pulau Jolo oleh ketua Abu Sayyaf dikenali sebagai Abu Khalif.

Pihak berkuasa Malaysia kini dipercayai bekerjasama dengan Filipina untuk menyelamatkan semua tebusan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata beliau akan mengarahkan polis agar meningkatkan lagi komunikasi dan rundingan dengan penculik untuk membebaskan mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here