Abu Sayyaf
Anggota tentera Filipina di atas Rockall, yang telah dijumpai hanyut dari pulau Laparan di wilayah Sulu, kubu kuat Abu Sayyaf. Kumpulan tersebut telah menculik pemilik kapal layar tersebut dan membunuh isterinya - Foto oleh European Press Photo Agency

Pengganas Kumpulan Abu Sayyaf yang beroperasi di sepanjang sempadan selatan di Filipina dengan Malaysia telah menculik seorang warga Jerman selepas membunuh isterinya, hanya beberapa jam selepas menculik dua warga Indonesia di perairan Sabah.

Mejer Filemon Tan, jurucakap tentera Filipina, berkata Abu Sayyaf mengambil Mr Jurgen Kantner, 70, dari kapal layar mereka di pesisir laut negeri Malaysia pada hari Ahad, kata satu laporan semalam.

Kemudian pada hari yang sama, kapal layar beliau, Rockall telah dijumpai hanyut dari pulau Laparan di wilayah Sulu, kubu kuat Abu Sayyaf. Mayat isteri Kantner, Sabine Merz turut dijumpai di atas kapal layar itu.

Menurut Mej. Tan, Merz mempunyai luka tembakan, dan senapang patah ditemui di sisinya.

Philippine Daily Inquirer melaporkan, Muammar Askali, kononnya jurucakap kumpulan Islam berkata: “Malangnya, seorang lagi meninggal dunia ketika beliau cuba untuk menembak kami, jadi kami tembak beliau..”

Sabtu lepas, dua warga Indonesia berusia 52 dan 46, kedua-dua tekong bot nelayan, diculik lima lelaki di atas sebuah bot laju dari kapal-kapal nelayan dalam dua kejadian berasingan di luar bandar Sandakan di Sabah.

Laporan media mengatakan pasangan Jerman ini pernah diculik oleh lanun Somalia di luar Teluk Aden dan dijadikan tebusan selama 52 hari pada tahun 2008. Mereka telah dibebaskan apabila wang tebusan telah dibayar kepada lanun.

The Daily Inquirer memetik sumber tentera sebagai berkata bahawa Abu Sayyaf pada waktu ini telah menculik dan menjadikan tebusan seorang warganegara Belanda, lima rakyat Malaysia, dua warga Indonesia dan empat warga Filipina.

LEAVE A REPLY