PNB

SEPERTI yang diketahui umum, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Wahid Omar telah secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2016 menggantikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang bersama institusi tersebut sejak tahun 1996.

Abdul Wahid merupakan seorang akauntan bertauliah yang pernah mengetuai syarikat perbankan di bawah portfolio PNB, Maybank, menerajui transformasi Telekom Malaysia (TM) selain mengetuai proses pemulihan UEM Group. Lantaran itu, pelantikan beliau bagi mengetuai PNB disifatkan tepat kerana latar belakang dan pengalaman luas khususnya dalam bidang korporat yang dimilikinya.

pnbMenerajui PNB pastinya memberikan cabaran kepada Abdul Wahid kerana institusi yang ditubuhkan pada 17 Mac 1978 itu memainkan peranan sebagai instrumen penting Dasar Ekonomi Baru kerajaan untuk menggalakkan pemilikan saham oleh Bumiputera dalam sektor korporat dan memberi peluang kepada golongan profesional Bumiputera yang berkelayakan untuk menyertai pewujudan dan pengurusan harta.

PNB telah menjadi satu daripada pelabur institusi utama tempatan yang memainkan peranan penting terutamanya terhadap pegangan-pegangan saham syarikat utama negara khususnya syarikat milik kerajaan (GLC). Malah, daya saing luar biasa PNB dalam mempertahankan pencapaiannya di sebalik kekangan ekonomi harus dijadikan penanda aras kepada syarikat kerajaan yang lain.

Pelantikan tersebut sememangnya satu amanah dan tanggungjawab besar bagi mengisi jawatan yang sebelum ini disandang oleh Ahmad Sarji. PNB di bawah pimpinan Ahmad Sarji telah mencapai pelbagai kejayaan dalam melaksanakan mandat kerajaan bagi meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Bumiputera khususnya dan menyumbang ke arah pertumbuhan dan kemakmuran negara untuk manfaat rakyat Malaysia.

Sepanjang 38 tahun ditubuhkan, PNB berjaya menggembleng modal Bumiputera dan menyumbang kepada peningkatan pegangan ekuiti kaum itu dalam sektor korporat. Menurut Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB), hingga kini, pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat mencecah 23 peratus iaitu semakin menghampiri 30 peratus sebagaimana yang disasarkan menjelang tahun 2020.

PNBPNB juga berjaya mengumpul RM268 bilion pengumpulan dana, seterusnya memegang ekuiti dalam 200 syarikat di pelbagai sektor ekonomi negara. Pelaburan dilakukan PNB dalam syarikat terbabit bernilai berbilion ringgit dengan nilai pelaburan syarikat tersenarai saja adalah 11.1 peratus daripada modal Bursa Malaysia yang kini bernilai RM1.65 trilion.

Selain itu, keupayaan PNB mengurus dananya secara efisien, penilaian portfolio pelaburan secara berkala dan mengambil setiap peluang yang ada menjadikan pelaburan dalam pelbagai sektor dalam dan luar negara seperti pembuatan, perbankan dan hartanah membuahkan hasil dan secara tidak langsung mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pelaburan terkemuka di negara ini.

Rakyat Malaysia pastinya akan setia mengikuti perkembangan PNB yang ingin melihat bagaimana Abdul Wahid menggalas tiga mandat penting yang diamanahkan kerajaan. Tiga mandat tersebut ialah menambah baik prestasi korporat PNB serta anak syarikatnya; memantapkan lagi penyertaan Bumiputera dalam sektor perniagaan dan korporat; dan menyokong usaha kerajaan dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat. Berjayakah beliau mencapai sasaran yang ditetapkan atau sekurang-kurangnya menyamai pencapaian Ahmad Sarji sebelum ini? Hanya masa yang akan menentukannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here