Abdul Hadi Awang
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang - Foto oleh AFP

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan tidak sihat dan terpaksa mengehadkan komitmen beliau untuk menghadiri program yang telah dirancang untuk beliau.

Semalam Hadi, yang biasanya akan menyampaikan kuliah mingguannya setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, memendekkan syarahan beliau selama satu jam sahaja dan bukannya seperti kebiasaannya selama dua jam.

Setiausaha Sulit kepada Hadi, Zaihan Mohd Daud berkata, walaupun menghadapi masalah kesihatan, Hadi tetap meluangkan masa untuk menghadiri program.

“Tuan Guru tidak sihat kerana keletihan disebabkan oleh jadual beliau yang terlalu padat.

“Esok (Sabtu) beliau akan ke Sabah untuk menghadiri program di sana,” kata Zaihan kepada pemberita selepas Perhimpunan Harapan Semua (Harap 3.4) di Kemaman, malam tadi.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menghadiri upacara tersebut selama kira-kira satu jam dan menyampaikan ucapan selama 30 minit itu sebelum bergegas pulang ke rumah untuk berehat.

Beliau yang kelihatan letih ketika menyampaikan ceramahnya dalam keadaan duduk dan perlu dipimpin sewaktu menuruni tangga ketika hendak pulang.

LEAVE A REPLY