Persatuan Automobil Malaysia (AAM) menerusi pelan pemulihan yang dirangka 8 bulan lalu bertindak menutup 11 cawangan di seluruh negara dan dijangka mampu mengurangkan kos operasi RM250,000 hingga RM300,000 sebulan.

Pengerusi AAM, Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha yang dipetik Sin Chew Daily berkata, pelan pemulihan itu turut merangkumi pembayaran tunggakan gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk 130 hingga 200 pekerjanya, membawa masuk beberapa rakan kongsi strategik, mempromosi sistem teknologi maklumat dan komunikasi dalam talian serta menambah keahlian di kalangan anak muda.

Beliau berkata, walaupun perniagaan cawangannya mengalami kerugian sejak 7 tahun lalu, pihak pengurusan AAM bagaimanapun tidak pernah memberhentikan pekerjanya.

AAM mempunyai 350 pekerja dan kini tinggal 132 pekerja selepas proses pengukuhan, di mana bakinya berhenti secara sukarela.

Katanya, AAM pada mulanya mempunyai 20 cawangan dan 11 cawangan ditutup sejak awal tahun ini serta 25 hingga 30 kakitangan dipindahkan ke cawangan lain, selepas pihak pengurusan mendapati 90% cawangan langsung tiada prestasi.

“Ia termasuk cawangan di Seremban, Melaka, Butterworth, Terengganu dan Kelantan yang ditutup, manakala 9 cawangan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru dan Kuantan masih beroperasi.”

Beliau mengakui perniagaan insurans dan menunda kenderaan berdepan saingan sengit, khasnya 6 atau 7 tahun lalu, apabila syarikat insurans lain turut menawarkan perkhidmatan menunda kenderaan menyebabkan keahlian AAM berkurangan daripada 300,000 orang kepada 70,000 orang tahun lalu.

Katanya, AAM juga bercadang memperluaskan promosi kepada pelajar universiti, dengan harapan golongan itu akan menyertai persatuan berkenaan selepas mereka tamat pengajian, selain meningkatkan kerjasama dengan syarikat insurans untuk memberi lebih banyak pilihan kepada ahlinya.

Beliau menggesa ahli dan pekerja terus menaruh kepercayaan kepada AAM kerana ia mempunyai nilai aset besar, di mana keseluruhan asetnya bernilai hampir RM8 juta, termasuk ibu pejabat di Shah Alam yang sekurang-kurangnya bernilai RM5 juta.

LEAVE A REPLY