88,000

Kerajaan negeri akan mengusahakan satu kaedah yang sesuai untuk membantu pemaju hartanah menjual unit mereka yang berstatuskan bumiputera di seluruh Johor.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha itu susulan terdapat 88,000 unit hartanah bumiputera tidak terjual sehingga kini di seluruh negeri.

Semua hartanah ini, menurutnya, terdiri daripada rumah banglo, rumah kedai, kilang, pangsapuri servis dan lain-lain.

“Ia tidak terjual kerana harga yang mahal tetapi kita akan cari jalan untuk membantu pemaju,” kata beliau kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Penempatan Semula Kampung Senibong di Johor Bahru, hari ini.

Mohamed Khaled memberitahu demikian sebagai mengulas isu rumah strata bumiputera yang dikatakan kurang mendapat sambutan khususnya di Johor Bahru.

Menurut beliau, dalam dasar perumahan yang ditetapkan, setiap pemaju perlu memperuntukkan sejumlah unit daripada keseluruhan hartanah yang dibangunkan kepada kaum bumiputera.

“Contohnya, kalau buat 10 unit rumah berharga RM10 juta, empat peratus daripadanya mesti dijual kepada bumiputera dan kita tahu ia memang sukar tetapi pemaju boleh meminta pelepasan dan di situ, dia kena bayar (denda).

“Kita pula ambil duit itu (denda) untuk membina rumah bumiputera di tempat-tempat lain,” katanya.

Berhubung isu kematian pelajar madrasah tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, beliau meminta semua pihak memberikan ruang untuk siasatan dijalankan dan tidak perlu ditokok tambah dengan perkara lain.

“Berilah ruang kepada siasatan dibuat, tidak payah hendak ditambah, campur aduk dan sebagainya. Ia tidak akan menyelesaikan masalah sedangkan kita memang perlu memberikan keadilan kepada semua,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled memberitahu kira-kira 100 penduduk Kampung Senibong akan mendapat seunit rumah teres dua tingkat di sebuah kawasan penempatan baharu, bermula akhir tahun depan.

Katanya, rumah tersebut yang ditawarkan pada harga istimewa iaitu hanya RM25,000 berbanding harga pembinaan RM300,000, adalah sebagai ganti kepada tanah mereka yang diambil pemaju untuk membangunkan beberapa projek perumahan di kawasan terbabit.

“Kampung ini sudah berusia lebih 100 tahun dan daripada dahulu penduduknya telah memohon untuk mendapatkan geran hak milik tanah tetapi tanah telah bertukar tangan kepada pemaju.

“Jadi, kerajaan telah berunding balik kepada pemaju dan mendapat satu penyelesaian iaitu mereka (penduduk) bersetuju berpindah ke kawasan yang dibangunkan semula. Kerajaan mengalakkan penyelesaian sebegitu kerana khuatir penduduk berhadapan dengan pelbagai masalah ekoran pembangunan pesat di sekeliling mereka,” katanya.

Fasa pertama projek berkenaan yang melibatkan lebih 50 unit rumah akan bermula Oktober tahun ini dan siap akhir tahun depan, manakala fasa kedua melibatkan 40 unit lagi dijadualkan siap pada 2019. Kedua-dua fasa dibangunkan oleh Iskandar Waterfront Holdings.

Dalam pada itu, bagi membolehkan sejumlah penduduk meneruskan perniagaan restoran makanan laut mereka yang telah lama diusahakan di kawasan itu, kerajaan negeri akan menyediakan lot-lot perniagaan di penempatan baharu dengan ia dimiliki dan dikelolakan oleh Koperasi Kampung Senibong.

Pada masa sama, sebanyak 2,010 unit rumah pangsa berkeluasan 1,000 kaki persegi turut disediakan kepada generasi kedua kampung berkenaan. –Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here