Sumber imej: BHOnline

Polis Sabah tidak menolak kemungkinan lima kru rakyat Malaysia yang hilang selepas kapal tunda dinaiki mereka ditemui terdampar di perairan Dent Heaven, Lahad Datu, semalam, menjadi mangsa culik.

Sebuah bot tunda dan tongkang kosong tanpa operator ditemui oleh Pasukan Keselamatan di Perairan Dent Heaven, Lahad Datu. Sumber foto: BHOnline

Kapal itu ditemui terkandas di kawasan beting pasir oleh pasukan keselamatan jam 2 petang semalam dalam keadaan enjin hidup tanpa operator, manakala barangan di dalamnya berselerak menyebabkan usaha mengesan kru digerakkan serta-merta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, berkata pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan sehingga kini belum dapat mengesahkan apa yang berlaku kepada semua lima kru berkenaan.

“Setakat ini belum ada sebarang panggilan meminta wang tebusan, selain semua mangsa tidak dapat dihubungi,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, di sini, sebentar tadi.

Lima kru kapal tunda yang hilang ialah Abd Rahim Summas, 62; Tayudin Anjut, 45; Mohd Ridzuan Ismail, 32; Zulkipli Ali, 56; dan Fandy Bakran, 26.

Perairan Dent Heaven, Lahad Datu, Sabah. Sumber imej: BHOnline

Laporan penemuan kapal tunda itu dibuat oleh pemiliknya selepas mendapat maklumat daripada kru kapal tunda lain bahawa kapal terbabit terkandas di perairan Dent Heaven tanpa seorang pun anak kapal.

Difahamkan, kapal tunda tanpa muatan itu dalam perjalanan balik dari Sandakan ke Semporna selepas menghantar pasir. Pada 1 April lalu, empat warga Malaysia yang juga kru sebuah kapal tunda diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan berhampiran Semporna.

Pada 9 Julai lalu, tiga lelaki pekerja bot ikan diculik lima lelaki bersenjata di perairan Sahabat 16, di Lahad Datu.

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY