money

Majikan memberi kenaikan gaji dan bonus yang lebih rendah kepada eksekutif pada tahun ini, menurut Kajian Gaji Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) untuk Eksekutif dan Bukan Eksekutif 2016.

Presiden MEF, Tan Sri Azman Shah Haron berkata kajian itu mengunjurkan prospek 2017 adalah suram.

Beliau berkata kajian melibatkan 280 syarikat itu menunjukkan jangkaan purata keseluruhan kenaikan gaji untuk eksekutif pada 2017 sebanyak 5.3 peratus berbanding 5.55 peratus pada 2016.

“Ia turut mengunjurkan kenaikan gaji untuk bukan eksekutif adalah lebih rendah iaitu 5.43 peratus pada 2017 berbanding 5.51 peratus pada 2016,” katanya semasa pelancaran laporan kajian itu di sini, pada Khamis.

Azman Shah berkata unjuran purata bonus pada 2017 untuk eksekutif adalah lebih rendah iaitu 2.15 bulan (berbanding 2.3 bulan pada 2016) namun bonus yang lebih tinggi untuk bukan eksekutif iaitu 2.11 bulan (berbanding 1.97 bulan pada 2016).

Beliau berkata merujuk kepada hasil kajian itu, hanya 63 peratus daripada syarikat responden memberi bonus kepada eksekutif pada 2016 berbanding 74.4 peratus pada 2015.

Kajian itu juga mendapati 61.3 peratus daripada syarikat responden memberi bonus kepada bukan eksekutif pada 2016 berbanding 72.6 peratus pada 2015.

Selain kajian itu, Azman Shah turut melancarkan Kajian MEF Mengenai Pengurusan Pekerja Asing, Kajian MEF Mengenai Pengurusan Pekerja Semasa Kelembapan Ekonomi, Kajian Faedah Sampingan MEF 2016 serta Analisis Perjanjian dan Ganjaran Terkumpul MEF bagi Terma dan Syarat Penggajian 2015.

LEAVE A REPLY