Proton Holdings Bhd terus berpegang kepada komitmen untuk melancarkan empat model kereta dalam 2016. Ini terbukti apabila ia memperkenalkan Proton Ertiga, model keempat dan terakhir dalam tahun ini.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) itu diperkenalkan melalui kerjasama Proton dengan Suzuki Motor Corporation dari Jepun.

Dijual pada harga antara RM58,800 – RM64,800, model Ertiga merupakan MPV kompak pertama di Malaysia diberi status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali, Ertiga didatangkan dengan dua versi iaitu executive serta executive plus.

“Kereta famili dengan 6 tempat duduk ini dilengkapi enjin 1.4 VVT yang diperbuat daripada aluminium ringan untuk kedua-dua varian. Suntikan kuasa multipoin (MPI) menghasilkan penjimatan penggunaan bahan api pada 5.7L/100km.

“Selain itu, teknologi drive-by-wire memantapkan lagi prestasi kereta untuk lebih responsive.

“Anda akan dapat merasakan kehalusan kereta ini pada kelajuan 110km/h dan 2900 rpm di mana enjin agak senyap dan penyerapan bunyi jalan serta angin yang baik membuatkan pemanduan kereta lebih selesa kerana kesenyapan ketara dari segi tahap kebisingan, getaran dan kekasaran,” kata Ahmad Fuuad di pelancaran Proton Ertiga di sini pada Khamis.

Kedua-dua versi diberi penarafan empat bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Ahmad Fuaad berkata matlamat syarikat adalah untuk mencapai jualan bulanan purata sebanyak 1,500 unit.

Jelasnya, kandungan peralatan tempatan ertiga ketika ini adalah sebanyak 15 peratus dan ia dijangka meningkat selepas mencapai jumlah jualan tertentu.

Bahagian-bahagian pemasangan tempatan (CKD) dihantar ke Malaysia daripada kilang suzuki di Indonesia.

Jelasnya lagi, jualan MPV ini tidak akan menjejaskan model Exora kerana masing-masing direka untuk segmen pasaran yang berbeza.

LEAVE A REPLY