Foto hadapan dari TRP

PERSOALAN utama yang perlu bermain di minda masyarakat sekarang, adakah perhimpunan BERSIH 5 pada 19 November ini benar-benar perhimpunan yang bersih?

Jika ada yang menjawab ya, sila terangkan di dalam aspek mana bersihnya sejak penganjuran himpunan BERSIH 1 (2007) BERSIH 2.0 (2011), BERSIH 3.0 (2012) dan BERSIH 4.0 (2015).

Keempat-empat perhimpunan hanya mengulang alasan mendesak kerajaan melaksanakan pilihan raya adil dan bersih, bukankah itu hanya agenda kotor pihak tertentu demi menjayakan matlamat politik mereka.

Kira-kiranya mudah, bagaimana mungkin ada negeri yang dimiliki pembangkang jika pilihan raya itu sendiri tidak adil dan bersih? Jika ada muslihat, tentu sahaja kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah lama menguasai semua negeri di dalam negara dengan kemenangan besar pada setiap pilihan raya. Adakah itu berlaku?

Apakah akibatnya jika Bersih diteruskan? Akibatnya tentuberlaku siri keganasan dan kerosakan harta awam selain cuba mengheret imej negara ke arah kedudukan tercorot di mata dunia.

Apa yang rakyat dapat daripada perhimpunan jalanan haram BERSIH?

Setiap kali himpunan haram BERSIH, sebanyak 36 stesen televisyen di seluruh dunia akan menjaja himpunan haram ini sebagai kegagalan kerajaan yang mengakibatkan nama baik Kuala Lumpur dan Malaysia tercemar.

Sebagai renungan, BERSIH 4.0 me­nyaksikan segelintir orang yang ti­dak bertamadun meludah gambar pe­mimpin (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

Adakah perkara sama ingin diteruskan dalam BERSIH 5?

Dalam BERSIH 2.0 pula, jumlah tuntutan kerugian adalah sebanyak RM817,205 oleh 317 peniaga dan pada BERSIH 4.0, anggaran kerugian adalah sebanyak RM10.8 juta.

Dianggarkan sebanyak 6,000 gerai di sekitar Kuala Lumpur terjejas pada setiap perhimpunan. Pe­niaga yang terdiri daripada pel­ba­gai bangsa pasti mengalami ke­rugian besar. Anggaran keuntu­ngan setiap gerai adalah sekitar RM1,000 hingga RM50,000 sehari.

Bukan sahaja gerai-gerai malah kira-kira 15 pusat beli-belah utama di sekitar Kuala Lumpur juga terjejas setiap kali perhimpunan BERSIH diadakan.

Dalam BERSIH 3.0, keuntungan kompleks beli belah Sungei Wang Plaza jatuh sebanyak 30 peratus berbanding minggu-minggu biasa. Di pusat membeli bekah Sogo, Low Yat, Starhill dan Lot 10 pula mengalami kerugian sebanyak 50 peratus manakala Pasar Seni terpaksa ditutup sepanjang hari.

Di Jalan Petaling pula, lebih 80 peratus kedai ditutup manakala di Suria KLCC, premis berkenaan terpaksa dibuka lambat dan kebanyakan kedai juga terpaksa ditutup.

Akibat BERSIH, negara berdepan banyak masalah antaranya usaha Kementerian Pelanco­ngan dan Kebudayaan untuk meyakinkan pelancong luar ke negara ini.

Lebih memalukan pada BERSIH 4.0 sebelum ini, mereka menjatuhkan imej negara di peringkat antarabangsa apabila turut mengadakan himpunan di beberapa bandar besar di luar negara.

Entah apa motifnya, yang pasti sudah tidak ada lagi semangat patriotik dan apa yang ada di dalam hati mereka hanya mahu menghancurkan kedaulatan negara.

Adakah rakyat masih tidak menyedari perkara ini? Rakyat kini diheret untuk menyertainya serta menerima kejahilan penganjur himpunan itu sebagai sesuatu yang benar demi mencapai kepentingan dan kedudukan politik mereka.

Sudah terbukti banyak perkara negatif pada penganjuran BERSIH sebelum ini yang mengundang banyak impak buruk kepada negara dan rakyat apabila demonstrasi diadakan di jalanan. Jadi, adakah rakyat perlu menyertai BERSIH 5?

Adakah pihak penganjur BERSIH meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam hal ini?

Telah terbukti dalam penganjuran BERSIH sebelum ini juga bahawa penganjurnya mempunyai niat atau agenda tersembunyi di sebalik perhimpunan tersebut dan kini mereka tampil pula dengan BERSIH 5. Motifnya sama sahaja, nawaitunya tetap mahu merosakkan.

Dengan apa yang berlaku, adakah rakyat tidak menyedari BERSIH bukan sebuah entiti yang bersih? NGO ini didalangi kepentingan politik kumpulan tertentu. Rakyat perlu mempersoalkan apa sebenarnya agenda mereka.

Menyertai BERSIH 5 atau tidak, rakyat perlu berfikir semula apa manfaatnya jika berbuat demikian?

Jika sejarah buruk BERSIH sengaja mahu dibiarkan berulang, apa guna melaung semangat cinta negara jika pada masa sama menggadai maruah dan kedaulatan anak bangsa.

Khairul Amir is an independent analyst and Malaysian Access reader. Article written is strictly his personal view. Malaysian Access does not necessarily endorse the opinions given by any third party content provider.

LEAVE A REPLY