Saturday, December 10, 2016
Minyak Naik Bukan Alasan Harga Makanan Naik

Minyak Naik Bukan Alasan Harga Makanan Naik

108
0

Harga minyak masak selain peket satu kilogram (kg) mengalami kenaikan kira-kira RM1.50 bagi setiap kg selepas penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak bermula hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainu­d­din berkata, kenaikan tersebut walau bagaimanapun tidak sepatutnya menjejaskan harga makanan yang dijual di gerai atau restoran.

“Dalam isu pengurangan subsidi minyak masak ini, saya sendiri telah membuat pengiraan iaitu kenaikan harga hanya RM1.50 bagi satu kg. Jadi jika lima individu menjamu selera di restoran, kenaikan harga yang dikenakan seharusnya tidak terlalu tinggi.

“Ini berikutan penggunaan minyak masak untuk kesemua pelanggan ini hanya kira-kira setengah kg. Jadi, kenaikan harga hanya 70 sen dan seorang kira-kira 20 sen sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab soalan daripada Datuk Seri Ikmal His­ham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini.

Sehubungan itu, tegas Ham­zah, peniaga makanan yang didapati sengaja mengambil ke­sempatan menaikkan harga jual­an berikutan penstrukturan semula skim tersebut boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Beliau berkata, sejak dua ming­gu lalu penguat kuasa kementeriannya telah menjalankan pemantauan ke atas peruncit dan restoran bagi memeriksa bekalan serta harga makanan yang dikenakan kepada pelanggan.

Katanya, dalam pemantauan tersebut, sebanyak 14 kes melibatkan beberapa peniaga yang telah diambil tindakan di bawah peruntukan tersebut akibat kesalahan menyorok bekalan minyak masak dan menaik­kan harga jualan.

“Penguat kuasa kementerian sentiasa turun padang melakukan pemantauan di pasar raya, kedai runcit, restoran serta gerai makanan. Langkah ini diambil bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang jualan sesuka hati,” jelasnya.

Sementara itu, kata beliau, tidak semua penduduk negara ini menggunakan minyak sawit sebagai minyak masak kerana terdapat pelbagai jenis minyak lain di pasaran seperti minyak zaitun dan minyak bunga matahari.

“Terpulang kepada pengguna untuk beli minyak masak, jenis apa dan kuantitinya, jika hendak beli yang dalam peket satu kg pada harga RM2.50, subsidi masih diberikan. Bagi mereka yang berkemampuan, mereka boleh beli minyak masak lebih satu kg atau jenis lain.

“Saya turut membuat pengiraan penggunaan minyak masak bagi setiap individu di negara ini adalah 1.5 kg dan jika dikira de­ngan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia kira-kira 30 juta, kuota minyak masak adalah 45,000 kilogram sahaja. Jumlah sekarang mencukupi,” katanya.

LEAVE A REPLY