Kemudahan meminjam untuk melabur, contohnya pinjaman ASB boleh menjadi antara instrumen paling berkesan untuk membantu orang ramai membina tabungan yang kukuh.

Bagaimanapun sebelum membuat sebarang komitmen, seseorang itu perlulah memastikan mereka mempunyai keupayaan untuk membayar ansuran bulanan demi kelangsungan jangka panjang pinjaman berkenaan.

Langkah ini dapat mengelak pelabur daripada mengeluarkan agihan pendapatan tahunan yang diterima untuk membayar ansuran bulanan.

Setiausaha Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MPFC), Anuar Shuib berkata, kesilapan utama yang sering dilakukan pelabur ialah bergantung kepada dividen atau bonus untuk membayar ansuran bulanan.

“Ini merupakan satu kaedah yang tidak tepat kerana apabila kita mengeluarkan dividen tahunan yang diterima, kita sebenar­nya gagal untuk mengembangkan pelaburan dan akhirnya menyebabkan matlamat awal kita tidak tercapai.

“Sehubungan itu, sebelum membuat keputusan untuk membuat pinjaman ASB, seseorang itu harus memastikan mereka mampu membayar ansuran bulanan menggunakan pendapatan bulanan mereka,” katanya di sini baru-baru ini.

Melaburkan semula agihan pendapatan merupakan faktor pen­ting yang dapat mengembangkan pelaburan dengan pantas. Faedah kuasa kompaun hanya berkesan sekiranya pelaburan tidak dikeluarkan untuk jangka panjang.

Anuar berkata, pelabur juga perlu memberi perhatian kepada kos pinjaman (kadar faedah) yang mungkin berubah-ubah dan boleh meningkat bergantung kepada situasi ekonomi.

“Sekiranya kita bergantung sepenuhnya kepada agihan pendapatan untuk membayar ansuran bulanan, apa yang akan terjadi sekiranya satu ketika, pulangan ASB lebih rendah berbanding kos pinjaman?

“Jadi kita perlu memastikan kita mempunyai keupayaan untuk membayar ansuran bulanan menggunakan pendapatan sendiri, supaya sekiranya berlaku perkara luar dugaan, kita tidak berhenti separuh jalan,” katanya.

Beliau berkata, dalam apa juga pelaburan yang dibuat, matlamat yang jelas perlu ditetapkan agar ia tidak menjejaskan tabungan.

“Sebagai contoh, tujuan pelaburan boleh jadi untuk perkahwinan, pendidikan anak-anak ataupun persaraan. Jadi kita perlu fokus untuk menjadikan matlamat ber­kenaan satu realiti dan tidak berhenti separuh jalan kerana tidak mampu,” katanya.

Kemudahan pinjaman ASB me­rupakan peluang yang baik untuk bumiputera memulakan tabungan kerana ia dapat membantu mereka membuat pelaburan yang konsisten.

Kemudahan pinjaman ASB ditawarkan oleh institusi perbankan antaranya Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan jumlah pinjaman maksimum sehingga RM200,000 bagi tempoh selama 30 tahun.

Dengan adanya kemudahan pinjaman ini, pelabur mempunyai pilihan sama ada mahu melabur sendiri atau membuat pinjaman ASB.

“Kelebihan pinjaman ASB ialah ia merupakan satu kaedah simpanan paksaan yang membantu pelabur melabur secara konsisten setiap bulan, lebih-lebih lagi jika seseorang itu sukar mendisplinkan diri apabila melabur menggunakan wang sendiri,” katanya.

Anuar berkata, sebaik-baiknya pelabur memperuntukkan antara 10 hingga 30 peratus daripada pendapatan untuk simpanan dan pelaburan setelah mengambil kira komitmen lain seperti bayaran ansuran kereta, rumah dan perbelanjaan harian.

“Ini kerana, apabila kita membuat pinjaman, kita tertakluk kepada komitmen dengan pihak bank untuk bayaran setiap bulan. Dengan membuat pinjaman di luar ke­upayaan kewangan menjadikan matlamat tabungan itu tidak tercapai.

“Jadi, sebelum sebarang pinjaman dibuat, lihat semula kemampuan bulanan kita dan berapa bayaran yang boleh dibuat bagi mengelakkan pelabur berdepan masalah kewangan di kemudian hari,” katanya.

Sementara itu, mengulas keperluan pelabur ASB mengurus harta perwarisan menerusi Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, Anuar berkata, pelabur sebaiknya mengurus harta mereka ketika masih hidup dan kemudahan pengurusan perwarisan yang ditawarkan ASNB sewajarnya digunakan sebaiknya oleh pelabur untuk kemudahan waris.

“Sikap sesetengah pelabur yang tidak mengambil berat pengurusan harta pusaka menyebabkan ramai waris berdepan masalah apabila membuat tuntutan,” katanya.

Pelaburan dalam ASB akan menjadi harta pusaka apabila pelabur me­ninggal dunia dan waris perlu mendapatkan surat probet untuk membuat tuntutan yang mungkin mengambil masa tiga bulan atau boleh berlanjutan hingga bertahun-tahun sekiranya tiada persefahaman antara waris.

Dengan melanggan Hibah Ama­nah atau Pengisytiharan Amanah, perkara ini dapat dielakkan dan waris dapat membuat tuntutan dengan pantas dan mudah.

LEAVE A REPLY