Lee

Datuk Lee Chong Wei gagal dalam cubaannya untuk menjadi atlet Malaysia pertama memenangi pingat emas di Sukan Olimpik selepas tewas kepada pemain China, Chen Long pada perlawanan akhir acara perseorangan badminton lelaki di Rio de Janeiro.

Permainan berakhir 18-21, 18-21.

Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut Chong Wei, 34, di pentas final Olimpik selepas tewas kepada Lin Dan di Beijing 2008 dan London 2012.

“Saya minta maaf kerana gagal menyumbang pingat emas yang sememangnya dinanti-nantikan Malaysia.

“Memang saya kecewa dengan kekalahan ini…saya sudah memberikan yang terbaik tetapi Chen Long bermain lebih baik.

“Saya sudah lakukan yang terbaik…dan nyata ini bukan sesuatu yang saya mahukan untuk mengakhiri penampilan di Olimpik,” kata Chong Wei yang menegaskan beliau tidak gemuruh, cuma kesal tidak bertemu Lin Dan di final ketika masing-masing membuat penampilan terakhir di Olimpik.

Detik yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia untuk ikon sukan negara pulang dengan emas mula tergugat apabila Chong Wei tewas di set pertama dengan 18-21 dalam masa 38 minit.

Dalam pertarungan yang sengit itu, set kedua turut tamat dengan keputusan sama ketika Chong Wei gagal merobek keutuhan Tembok Besar China untuk kali ketiga di pentas akhir.

Chong Wei dan Chen Long telah bertemu 26 kali dalam masa tujuh tahun dengan pemain negara menang 13 kali, lebih dua daripada juara dunia itu.

Chen Long turut mengecewakan Chong Wei dalam dua final Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark 2014 serta di Jakarta, Indonesia tahun lepas. Pingat perak Chong Wei di Copenhagen ditarik balik selepas beliau gagal dalam ujian doping yang menyaksikannya digantung lapan bulan.

Sebelum aksi final di sini, Chong Wei dan Chen Long telah bertemu empat kali dalam tempoh setahun.

Chong Wei muncul pemenang dalam keempat-empat pertemuan itu – Terbuka China 2015, Terbuka Hong Kong 2015, Terbuka Malaysia 2016 dan Kejohanan Asia 2016.

Dalam perlawanan hari ini, Chen Long bermula agresif dengan mendahului 4-0 di set pertama sebelum Chong Wei mengikat kedudukan 4-4, ketika kedua-dua pemain bermula agak berhati-hati.

Pertarungan mata cukup dramatik sehingga kedudukan 14-14 sebelum Chen Long banyak mengutip mata akibat kesilapan Chong Wei khususnya dalam permainan di jaring untuk memberikan kemenangan kepada pemain China itu.

Dalam set kedua pula, Chen Long banyak menggunakan pukulan yang mengelirukan manakala Chong Wei cuba bangkit menyamakan kedudukan 8-8 tetapi jelas pemain China itu cukup liat untuk digugat.

Chen Long memastikan kemenangan dengan 21-18 dalam masa 38 minit untuk meraih pingat emas pertama untuk dirinya, sekali gus menebus kekalahan bekas juara, Lin Dan yang tewas dalam pertarungan pingat gangsa kepada juara remaja dunia 2010, Viktor Axelsen dari Denmark 15-21, 21-10, 21-17.

LEAVE A REPLY