Sumber foto: BHOnline

TIGA syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia bekerjasama dengan syarikat Indonesia untuk bangunkan projek rumah mampu milik bernilai RM3.5 bilion di tapak seluas 500 hektar di Tangerang, di sini.

Sime Darby Bhd, I&P Group Sdn Bhd, S P Setia (Indonesia) Sdn Bhd dan PT Hanson International Tbk hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan projek itu yang terletak kira-kira 80 kilometer dari bandar raya ini.

Majlis memeterai MOU itu disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di sini. Majlis pemeteraian itu berlangsung selepas perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12 (WIEF Ke-12) bermula hari ini hingga Khamis.

Najib kini dalam lawatan kerja tiga hari ke Indonesia sempena Rundingan Tahunan ke-11 Malaysia-Indonesia dan menghadiri WIEF. PT Hanson adalah antara syarikat hartanah terbesar di Indonesia berdasarkan luas kawasan pembangunan dan memiliki lebih dari 3,500 hektar simpanan tanah di Jakarta.

Sime Darby, antara konglomerat terbesar Malaysia terbabit dalam beberapa sektor termasuk perladangan, peralatan industri, automotif dan logistik serta sudah terbabit dalam pembangunan hartanah sejak lebih 40 tahun.

Mengikut MoU itu, tiga GLC Malaysia masing-masing akan memegang 20 peratus kepentingan manakala baki 40 peratus oleh PT Hanson. Semua syarikat berkenaan menjangka MoU itu akan diterjemahkan dengan perjanjian rasmi dalam tempoh tiga bulan lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here