1mdb

KUALA LUMPUR: Rujukan “Malaysian Official One” atau “Pegawai Malaysia Satu”, nama samaran salah seorang yang didakwa terlibat dalam korupsi seperti yang didedahkan dalam dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Rabu telah mencetuskan tanda tanya banyak pihak.

Yang pasti, rujukan terhadap nama tersebut menyebut tiga ciri penting iaitu beliau seorang pegawai tinggi kerajaan Malaysia, seorang yang mempunyai kedudukan berautoriti dalam syarikat 1MDB dan mempunyai pertalian dengan Riza Aziz, anak tiri perdana menteri yang merupakan orang kuat di sebalik filem “The Wolf of Wall Street”.

1mdb
Tiga individu penting yang disebut dalam saman kerajaan AS

Perkara itu dinyatakan secara jelas pada perenggan 28 dan 29 dalam dokumen yang disediakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang menyenaraikan salah laku pelbagai pihak yang dituduh menggunakan wang berkait 1MDB.

Misteri ini antara hal yang paling banyak diperkatakan di media sosial bermula semalam berikutan langkah DoJ yang mahu menyita aset 1MDB berjumlah lebih USD1 Billion.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Wong Kah Woh berkata kebanyakan rakyat Malaysia sudah boleh meneka siapakah individu yang dimaksudkan.

Justeru, Kah Woh menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan dan meletak jawatan atas apa yang disifatkannya sebagai ‘pengkhianatan mega’ terhadap rakyat Malaysia.

Di sebalik nama seperti Riza dan ahli perniagaaan Low Taek Jhow (Jho Low), DoJ atas pertimbangan tertentu tidak mendedahkan identiti sebenar individu yang menurutnya menjadi penerima akhir kepada sejumlah wang yang dilesap.

BBC melaporkan Peguam Negara AS Loretta Lynch enggan menjelaskan mengapa nama “Malaysian Official One” tidak dinyatakan secara terus.

Laporan itu mengandaikan ia mungkin kerana Malaysia rakan utama AS dalam memerangi keganasan.

Ketua Pegawai Eksekutif badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan juga membayangkan perkara yang sama.

“Jika kita baca laporan penuh, jelas (Malaysian Official One) merujuk kepada siapa. Masih ada perkiraan yang mungkin bersifat politik dan diplomasi yang diambil kira,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here