Sumber imej: FMT

China Communications Construction Company (CCCC) menafikan pembabitan dalam plot yang didakwa oleh Sarawak Reports sebagai menutup skandal rasuah berbilion dolar yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan menaikkan nilai kontrak kereta api.

Syarikat kejuruteraan Australia John Holland yang kini dimiliki oleh syarikat dari China iaitu China Communications Construction Company (CCCC)

Dakwaan ke atas CCCC, pemilik baharu kumpulan kejuruteraan Australia John Holland itu diterbitkan Sarawak Report yang berpangkalan di London minggu lalu dan kemudiannya diulang siar oleh media Asia.

Dalam kenyataan kepada The Australian, CCCC memberitahu pihak mereka tidak mengetahui dakwaan terkandung dalam artikel Sarawak Report.

“Kami akan terus mengikuti perkembangan tuduhan palsu dibuat media tertentu dan akan mengambil langkah perlu untuk mempertahankan hak kami yang sah,” menurut CCCC.

China Communications Construction Company (CCCC) 中国交通建设集团. Sumber imej: http://en.ccccltd.cn/

The Australian melaporkan, dakwaan Sarawak Report terhadap syarikat induk John Holland menyaksikan tiga syarikat besar milik rakyat Australia ditarik ke dalam skandal 1MDB, yang mana pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mendakwa sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion (RM14.11 bilion) dicuri daripada dana berkenaan.

Dua lagi syarikat ialah ANZ yang memiliki satu perempat daripada AmBank Malaysia, yang mana bayaran rasuah didakwa berakhir ke akaun bank Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, manakala LendLease iaitu pemaju utama projek Tun Razak Exchange dikatakan tidak jelas dalam isu pembiayaan berikutan kecurian dana.

Laporan The Australian itu turut menyebut ANZ dan LendLease belum dituduh melakukan sebarang kesalahan, manakala Najib berulang kali menafikan sebarang salah laku.

The Australian turut memetik dakwaan Sarawak Report bahawa Kerajaan Malaysia merancang menggandakan kos Projek Rel Pantai Timur RM30 bilion kepada RM60 bilion. Sebuah syarikat yang dinamakan CCCC kemudiannya dijangka mengambil alih hutang 1MDB sebanyak AS$5.6 bilion (RM22.57 bilion) sebagai balasan bagi aset yang dipegang buku dana pada jumlah sama seperti didakwa Sarawak Report.

“Berapa banyak aset bernilai adalah tidak jelas. Kebolehpercayaan nilai buku 1MDB menjunam ke dalam keraguan minggu lalu berikutan kerajaan AS bertindak membekukan lebih AS$1 bilion (RM4.03 bilion) aset didakwa diambil daripada 1MDB dengan juruaudit, Deloitte berkata akaun 2013 dan 2014 tidak lagi boleh dipercayai,” menurut The Australian.

The Australian turut melaporkan, Ketua Perbendaharaan Australia, Joe Hockey membenarkan CCCC membeli John Holland daripada Leighton Holdings dengan harga AUD$853 juta (RM2.612 bilion) pada April lalu walaupun Bank Dunia mengharamkan syarikat gergasi Cina itu meneruskan projek sehingga tahun depan berikutan amalan penipuan.

“Pada masa itu, Hockey berkata pengaturan yang sewajarnya diambil bagi mengurangkan sebarang keraguan berhubung isu ini dan beliau berpuas hati bahawa pelaburan ini tidak bertentangan dengan kepentingan negara,” menurut The Australian.

LEAVE A REPLY