19 orang

Seramai 19 orang dilaporkan cedera selepas ribut melanda khemah utama di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, kawasan berlangsung Muktamar tahunan PAS ke-63 malam tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, kejadian pada pukul 7.25 malam itu membabitkan khemah yang menempatkan pameran dan jualan Kelab Keusahawanan Haraki (KU-Haraki).

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Mohd Naim Mat Jaaffar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 7.43 malam, lapor Bernama.

Seramai 13 daripada mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah termasuk seorang yang tidak sedarkan diri dan dirawat di zon merah. Manakala enam mangsa yang lain dirawat di lokasi kejadian.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakruddin Sheikh Fakhrurazi dalam kenyataan lewat malam tadi berkata pihak panitia Muktamar PAS melahirkan simpati ke atas mangsa kejadian.

“Pihak Panitia Muktamar serta PAS Kedah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat, pegawai kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Medic Papisma dan St. John Ambulance yang telah membantu mangsa di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, semua aturcara program muktamar yang tidak melibatkan tapak ekspo berjalan seperti biasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengucapkan takziah kepada mangsa yang cedera dalam kejadian itu.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here