pakar
Foto oleh FMT

Kira-kira 150 pakar perubatan telah meletak jawatan daripada Kementerian Kesihatan setiap tahun sejak enam tahun yang lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Hilmi Yahaya berkata 128 pakar meletakkan jawatan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini manakala 124 meninggalkan perkhidmatan itu tahun lepas.

“Perletakan jawatan mereka daripada perkhidmatan adalah salah satu faktor masalah kekurangan pakar perubatan,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah).

Ikmal Hisham yang bertanya betapa seriusnya masalah kekurangan pakar perubatan di negara ini dan sama ada Malaysia akan dapat mencapai nisbah seorang doktor untuk 400 pesakit pada tahun 2020.

Dr Hilmi berkata salah satu sebab untuk pakar perubatan meletakkan jawatan adalah masa yang lama diambil untuk mereka untuk dinaikkan pangkat.

Beliau berkata jumlah perletakan jawatan yang paling tinggi adalah antara pakar pada gred U53 dan U54, yang terpaksa menunggu sehingga 10 tahun untuk kenaikan pangkat.

“Sebab itu kami merancang untuk memperkenalkan Gred 56, yang sedang diusahakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan telah menawarkan program “pesakit membayar penuh” pada kadar yang lebih rendah daripada yang dikenakan hospital swasta untuk menarik lebih ramai orang ke hospital kerajaan dan membolehkan pakar untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Dr Hilmi berkata Kementerian Kesihatan kini mempunyai lebih daripada 4,000 pakar dalam pelbagai bidang sehingga September tahun ini.

LEAVE A REPLY